Wednesday 28 May 2014

Istimewanya Kuala Lumpur di mata Beijing


Istimewanya Kuala Lumpur di mata Beijing



KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur cukup istimewa di mata Beijing kerana sifat mengutamakan persahabatan yang diamalkan oleh pemerintah dan rakyat negara ini.

Biarpun terpalit beberapa insiden antara dua negara seperti perebutan wilayah di Laut China Selatan dan tragedi MH370, namun ia bukan halangan untuk hubungan dua negara itu bertambah erat.

Sifat yang mengutamakan persahabatan ini menjadikan hubungan dua hala ini bukan sekadar hubungan diplomasi antara negara, malah lebih kepada hubungan persaudaraan yang mampu mengatasi semua isu yang timbul.

Wartawan Astro AWANI Shafizan Johari menemui Ketua Jabatan Pengajian Strategik Dan Antarabangsa Universiti Malaya, Dr Roy Anthony Rogers bagi mendalami kepentingan dua hala Kuala Lumpur-Beijing menjelang sambutan 40 tahun persahabatan Malaysia-China.

SEJARAH MELAKA-CHINA

Hubungan kedua-dua negara amat signifikan kerana ia diasaskan oleh sejarah yang cukup panjang.

"Sebenarnya, hubungan Malaysia-China sudah terjalin lama apabila Laksamana Cheng-Ho diutus ke Melaka dan disaksikan pula dengan lawatan oleh pemerintah Melaka," jelas Dr Roy.

Melaka mula menjalin hubungan dengan China sejak ia mula diasaskan lagi.

Ia bermula apabila Maharaja Yung Lo dari Dinasti Ming mengiktiraf Parameswara sebagai pemerintah di Melaka sekitar tahun 1405 dan perutusan pertama yang dihantar Maharaja China ialah Laksanama Cheng-Ho.

Pada keseluruhannya Melaka menghantar sebanyak 20 perutusan ke China antara tahun 1405 hingga tahun 1435.

Ia termasuk rombongan yang dihadiri oleh raja atau sultan Melaka sendiri iaitu Parameswara pada tahun 1411, Megat Iskandar Shah pada tahun 1414 dan 1419, Sri Maharaja atau Sultan Muhammad Shah pada April 1424 dan 1434.

HUBUNGAN ERA PERANG DINGIN

Sementara hubungan dua hala antara Malaysia dan China dalam sejarah moden hanya wujud 40 tahun lalu.

Ia dicetuskan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak yang mengutuskan sepucuk surat kepada rakan sejawatnya dari China ketika itu Zhao Enlai.

Surat itu dihantar melalui Setiausaha Agung Parti Perikatan, Tan Sri Michael Chen ketika pasukan ping pong Malaysia menyertai satu kejohanan di China.

Lawatan bersejarah Tun Abdul Razak menyusul tiga tahun kemudiannya.

Dr Roy bagaimana pun berpendapat hubungan Kuala Lumpur-Beijing pada awalnya dicemari kesangsian, terutama dari pihak Malaysia.

"Masih wujud kesangsian pada keikhlasan Beijing pada peringkat awal, memandangkan Malaysia masih menerima ancaman Parti Komunis Malaya (PKM)."

Namun kesangsian ini reda apabila PKM meletak sejata pada 1989 dan berakhirnya Perang Dingin pada 1991.

"Kalau pada tahun 1970-an sehingga 1980-an, China dilihat dengan kesangsian tetapi setelah 1990-an Malaysia melihat China sebagai rakan pelaburan untuk tujuan pelaburan dan juga peluang pekerjaan untuk ramai penduduk Malaysia," jelas Dr Roy.

"Jadi saya boleh simpulkan daripada dulu lawan menjadi kawan," jelasnya.

Daripada persahabatan kepada persaudaraan

Dr Roy menyifatkan  setelah 40 tahun, hubungan Malaysia-China sudah melepasi fasa kedua.

Ia memungkinkan semua isu yang timbul antara kedua-dua negara diselesaikan dengan cara baik seperti isu sensitif yang melibatkan perebutan wilayah bertindih.

Selain itu, pendekatan rundingan tertutup yang diamalkan Malaysia berbanding cara agresif yang diamalkan Filipina dan Vietnam membuka peluang negara untuk menyelesaikan isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan secara aman dan tertib.

"Walaupun hubungan KL-Beijing ada masalah seperti isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan, tetapi hubungan yang sudah erat terjalin ini dia akan mengatasi segala masalah," ulas Dr Roy.

"Ini dapat disaksikan melalui lawatan Xi Jinpin ke Kuala Lumpur, di mana Malaysia adalah negara yang paling awal dia melawat," kata Dr Roy lagi.

Dr Roy juga melihat hubungan Malaysia dan China akan terus akrab, tatkala Amerika Syarikat cuba untuk mengembangkan pengaruhnya dalam usaha mengimbangi kuasa China di Asia Pasifik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memulakan rangka lawatan enam hari ke China pada Selasa.

Lawatan ini antara lain menandakan peristiwa bersejarah ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik China-Malaysia pada 31 Mei.

No comments :

Post a Comment