• Dr Noor Hisham Abdullah
 1 / 1 
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan  tidak menafikan kemungkinan pencemaran berlaku pada sampel produk Cadbury yang dianalisa sebelum ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kemungkinan pencemaran itu berlaku ekoran sampel produk itu diambil dari pasaran bukannya kilang.

"Kemungkinan pencemaran memang ada sebab coklat yang di ambil adalah dari pasaran. Bagaimanapun Kementerian Kesihatan dan Jakim akan jalin kerjasama dalam pemantauan dan usaha bersama untuk seragamkan penilaian makmal kepada tanda aras yang disahkan oleh Standard Malaysia.

"Isunya bukan keupayaan makmal Kementerian Kesihatan tidak tepat. Sampel yang diambil bukan di kilang tetapi di pasaran dan kemungkinan pencemaran mungkin ada. Akan tetapi KKM masih menyiasat untuk kenal pasti punca pencemaran tersebut," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Sementara itu, menjawab kepada pertanyaan yang diajukan salah seorang pengikutnya yang mempertikaikan soal pengesahan sebelum keputusan analisa diumumkan, beliau mendakwa, keputusan itu dalam proses pengesahan sekali lagi namun telah dibocorkan oleh kakitangannya.

"Kami dalam proses pengesahan dan pengesahan sekali lagi tapi laporan itu malangnya telah dibocorkan oleh staf yang tidak bertanggungjawa dan menjadi 'viral'.

"Anda harapkan kami untuk menafikan laporan itu ke? Saya setuju jika lebih banyak sampel diperlukan dan pengesanan perlu dilakukan untuk menjawab sama ada hanya satu sampel itu yang tercemar atau semua sampel dengan nombor siri yang sama yang dikeluarkan kilang," katanya.

Tegasnya, KKM tidak ragu dengan keputusan analisis makmalnya.

"Keputusan analisis itu masih lagi positif. Kami masih menyiasat tapi perisa coklat susu (Cadbury Dairy Milk Chocolate) keputusannya adalah negatif.

"Kami tidak meragui keputusan analisis makmal tapi sampel itu bukan diambil dari kilang.

Semalam, Jakim mengesahkan ujian analisis ke atas dua produk Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam dengan nombor siri yang sama tidak mengandungi DNA babi.