Monday 2 June 2014

Hoki Piala Dunia 2014: Malaysia dibelasah Belgium, kekal tercorot

Hoki Piala Dunia 2014: Malaysia dibelasah Belgium, kekal tercorot


Pemain Malaysia Razie Abd Rahim (tengah) meraikan gol jaringannya bersama Faiz Jali (dua, kanan) dan Shahril Saabah (kiri) berhampiran pemain Belgium, Simon Gougnard. -AFP PHOTO/ ANP/ BAS CZERWINSK


















KUALA LUMPUR: Malaysia meneruskan aksi mengecewakan pada Kejohanan Hoki Piala Dunia 2014 selepas kalah teruk 2-6 kepada Belgium pada aksi kedua kumpulan A di Stadium GreenFields, The Hague, Belanda, awal Selasa.

Kekalahan itu adalah yang kedua selepas tunduk 0-4 kepada juara bertahan, Australia pada aksi pembukaan, Sabtu lepas sekali gus meletakkan Malaysia kekal menghuni tangga tercorot daripada enam pasukan dalam kumpulan A.

Kemenangan itu pula meletakkan Belgium berkongsi enam mata bersama pendahulu kumpulan, Australia namun berada di tangga kedua berdasarkan beza jaringan yang lebih rendah.

Pada aksi berkenaan, skuad negara kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah bermula garang dengan membuka tirai jaringan hasil gol padang Muhammad Razie Abdul Rahim seawal minit kelima perlawanan.

Penyerang berbisa Belgium, Tom Boon menyamakan kedudukan menerusi gol penalti stroke pada minit ke-14 sebelum Muhammad Razie kembali meletakkan Malaysia di hadapan hasil jaringan sudut penalti, lima minit kemudian.

Boon bagaimanapun berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-23 menerusi pukulan sudut penalti sebelum meledak gol peribadi ketiga untuk pasukan Eropah itu, lapan minit kemudian.

Bersambung babak kedua perlawanan, Belgium terus mengasak kubu negara dan berjaya meraih gol keempat hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Tanguy Cosyns pada minit ke-37.

Boon menjadi 'duri dalam daging' untuk skuad negara selepas menjaringkan gol kelima menerusi gol padang pada minit ke-45 sebelum John-John Dohmen melengkapkan kemenangan bergaya Belgium dengan gol keenam pada minit ke-56.

Skuad negara cuba mengurangkan defisit jaringan namun gagal menembusi benteng pertahanan Belgium yang kental bertahan bagi memastikan pasukan Eropah itu meraih kemenangan kedua pada kejohanan kali ini selepas menundukkan India, 3-2 pada aksi sulung, Sabtu lepas.

Terdahulu, Australia mencatat kemenangan kedua kumpulan A selepas menewaskan Sepanyol 3-0 pada aksi yang berlangsung pada sesi pagi di Stadium Kyocera.

Tiga gol skuad 'Kookaburras' dijaring Tim Deavin pada minit ketiga;Mark Knowles (10') dan Kieran Govers (33').

England pula meraih kemenangan pertama dalam kumpulan A selepas menundukkan India 2-1 pada aksi sebelah petang di venue yang sama.

Dua gol England dijaringkan Mark Gleghorne pada minit ke-27 dan Simon Mantell (69') manakala gol saguhati India disumbangkan Dharamvir Singh pada minit ke-30.

Malaysia akan berdepan England pada aksi ketiga kumpulan pada sesi pagi manakala Belgium menentang Australia pada sesi petang dan kedua-dua perlawanan akan berlangsung Khamis ini di Stadium Kyocera.

India dan Sepanyol yang belum meraih sebarang kemenangan selepas dua perlawanan akan membuat perhitungan di Stadium GreenFields, The Hague pada hari sama.

No comments :

Post a Comment